Qarin dalam Al-Quran dan Hadis Qarin

Al-Quran telah menjelaskan tentang adanya Qarin dalam Surah Az-Zukhruf

Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al-Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya. (Az Zukhruf 43:36)

Hadis mengenai Qarin pun telah dicatat oleh Imam Ahmad dan Imam Muslim, Nabi Muhammad bersabda kepada Abdullah Mas'ud, "Setiap kamu ada Qarin daripada bangsa Jin dan juga Qarin daripada bangsa Malaikat. Mereka bertanya: "Engkau juga Ya Rasulullah." Sabdanya: "Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat kuIslamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja."[1]

Hadis mengenai Qarin: Aisyah r.a. menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah SAW keluar dari rumahnya (Aisyah), Aisyah berkata: “Aku merasa cemburu.” Tiba-tiba Baginda berpatah balik dan bertanya, “Wahai Aisyah apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?” Aku berkata, “Bagaimana aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah?” Sabda Baginda, “Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitanmu?” Aku bertanya, “Apakah aku ada syaitan?” Sabda Baginda, “Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin.” Aku bertanya lagi, “Adakah engkau pun ada syaitan, ya Rasulullah?” Jawab Baginda, “Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk Islam.” (Hadis riwayat Muslim)

Dalam kisah yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah, bahawa ketika tiba giliran Iblis untuk meminta, ia pun berkata, “Ya Tuhanku, manusia (Adam) inilah yang telah Engkau muliakan atasku, kalau Engkau tidak memperhatikannya, aku tidak akan kuat menghadapinya.” Allah berfirman yang ertinya, “Tidak akan dilahirkan seorang anak darinya kecuali dilahirkan pula seorang anak dari bangsa kamu.” Iblis berkata lagi, “Ya Tuhanku, berilah tambahan kepadaku.” Allah S.W.T berfirman, “Kamu dapat berjalan-jalan ditubuh mereka seperti mengalirnya darah dan kamu dapat membuat hati mereka sebagai rumah-rumah untuk kamu.”